Saturday, November 26, 2011

Ayuh buka Lembaran Baru :)

Assalamualaikum semua :) alhamdulillah, terima kasih Allah atas nafas yang masih dikurniakan. Terima kasih ya Allah atas kekuatan yang masih diberikan untuk memotivasikan diri dan mereka yang membaca ini. Terima kasih ya Allah atas nikmatMU yang tak terhingga. Yuk, kita buka lemabaran baru, awal muharram menanti :)


Kehidupan dan dugaan itu hakikatnya adalah kembar. Dilahirkan bersama dan takkan terpisah melainkan dengan kematian semata-mata.
Kita sememangnya perlu bersyukur kerana dilahirkan sebagai manusia khalifah di muka Bumi ini. Namun, sejauh mana amanah yang kita pikul ini terlaksana? Ada segelintir kita yang sering mengeluh dibebani ujian hidup dan sering menyalahkan takdir.
Adakah kita mampu meneruskan kehidupan dengan redha dan sabar apabila segala nikmat, rezeki dan ahli keluarga ditarik? Adakah kita bersabar mengharungi halangan dan cabaran yang Allah berikan kepada kita? Apakah kita kekal percaya kepadaNya?
Memang  sukar tetapi itulah ujian dari-Nya. Ujian inilah yang menguji keimanan setiap hamba-Nya. Apabila kita ditimpa ujian, ingatlah ia adalah tarbiyyah dari Allah. Takkan sesekali diuji hamba-Nya dengan bebanan yang tidak mampu dipikul hamba-Nya.
Orang mudah mengeluh bila ditimpakan ujian dan cabaran ke atas dirinya. Orang senang merungut bila ditimpakan halangan di atas perjalanannya, ditaburkan duri di atas perjuangannya. Payah. Susah. Itu semua melemahkan dirinya
Hidup ini tidak selalunya dihujani ujian. Tanpa kita sedari, nikmat-Nya datang menghapuskan epilog sedih. Ya Allah, sesungguhnya banyak nikmat yang Kau berikan kepada kami. Tetapi mungkin kita yang tidak menyedarinya. Kita yang tidak mensyukurinya. Kita yang tidak pernah berpuas hati dengan nikmat itu.
Teringat ada pepatah mengatakan "Melihat kehidupan insan lain boleh menjadi iktibar pada diri kita. Untuk belajar bersyukur, kita kena lihat kehidupan orang yang lebih susah daripada kita supaya ia mengingatkan kita bahawa ada lagi insan yang lebih malang dan memerlukan pertolongan..."
Ramai orang takut untuk silap. Silap dan salah kadangkala dipandang sebagai sesuatu yang amat negatif dalam kehidupan insan. Ya, kalau kita lihat secara sekali lalu – silap dan salah sememangnya adalah negatif.

Tetapi sebagai manusia, kita tak akan mampu mengelak diri daripada melakukan kesilapan dan kesalahan. Tidak kira sehebat mana pun kita mempersiapkan diri, akan wujud juga keadaan-keadaan di mana kita melakukan kesilapan.
Ramai orang fobia dengan kesalahan dan kesilapan. Kerana mereka takut, ada celoreng hitam dalam perjalanan kehidupan mereka. Namun sebenarnya, kegagalan, kesilapan, kesalahan bukanlah sesuatu yang negatif 100%.

Kita patut memandang kegagalan, kesilapan dan kesalahan itu daripada luar kotak kebiasaan.

Kita ingat kita dah faham
Kadangkala, kita bersedia hingga sampai tahap kita merasakan bahawa kita telah faham atau merasakan bahawa kita telah mampu melakukan terhadap sesuatu perkara.
Namun tiba-tiba, kita melakukan kesilapan. Apa yang kita faham rupanya tidak tepat. Apa yang kita siap sediakan rupanya tidak kena dengan apa yang dikehendaki dalam pekerjaan. Kita telah tersalah. Kita gagal mendapat keputusan yang cemerlang. Kita gagal dalam melakukan kerja yang terbaik.

Di sini kalau keimanan itu wujud bersama kita, pertama sekali kita akan pulang bersangka baik kepada Allah SWT  “Mustahil Allah nak zalim pada aku.”
Hal ini kerana, jelas wujud di dalam Hadith yang ke-24, dalam Hadith 40 Karangan Imam An-Nawawi Rahimahullah: Daripada Abu Zar al-Ghifaari r.a, daripada Rasulullah s.a.w berdasarkan apa yang diriwayatkannya daripada Tuhannya yang Maha Mulia lagi Maha Tinggi bahawasanya Ia berfirman : “Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya Aku mengharamkan ke atas diri-Ku kezaliman…” Hadith Riwayat Muslim.

Maka kita akan melihat semula kesilapan kita itu.
“Kenapa aku silap? Di mana aku silap? Macam mana lah aku boleh tersilap.”
Dan ketahuilah, apabila kita muhasabah semula, kita akan mendapat satu perkara baru. Pengajaran baru. Yang mana sekiranya Allah izin kita tidak silap dalam kesilapan kita tadi, kita tidak akan mempelajari pengajaran tersebut. Kita tidak akan mengetahuinya. Namun dengan kasih sayang Allah SWT, dengan hikmahNya yang tersangat luas, Allah ingin kita melihat sesuatu. Sebab itu disilapkan kita.

Keberanian mengambil risiko.
Apabila mempunyai rasa tidak takut untuk melakukan kesilapan, tidak takut untuk gagal, maka kita akan mempunyai kekuatan untuk mengambil risiko. Semestinya mengambil risiko sekiranya boleh, kita patut elakkan. Namun akan wujud situasi-situasi di mana, walaupun selepas perkiraan yang rapi, tetap wujud risiko yang menanti. Maka di situlah ketidak takutan untuk melakukan kesilapan tadi memberikan kekuatan untuk mengecas keberanian kita dalam mengambil risiko tadi.

Hal ini kerana, kita yakin bahawa, sekiranya kita tersilap, kita akan mempelajari sesuatu yang baru lagi.

Membaca kehidupan, kadangkala 1000 kali lebih bermakna dari membaca buku.
Akhirnya apabila mendalami perkara ini, yakni belajar daripada kesilapan ini, kita akan melihat bahawa kesilapan, kegagalan, kesalahan, itu semua adalah pelengkap kepada kehidupan. Orang yang memerhatikan kesilapannya semula, kegagalannya semula, akan mempunyai kesedaran yang lebih tinggi, kepekaan yang lebih tinggi berbanding mereka yang tidak pernah peduli akan kegagalan mereka.

Inilah dia apa yang dikatakan sebagai ‘membaca kehidupan’. Bukan sekadar bergantung kepada teori-teori di dalam buku semata-mata. Namun melihat juga apa yang telah kita lalui di dalam kehidupan kita.

Tidak semestinya perlu silap dahulu.
Tidak semestinya kita perlu silap dahulu. Belajar daripada kesilapan orang lain juga adalah salah satu seni. Namun, apabila tiba masanya bila kita tidak lagi mempunyai pilihan melainkan berhadapan dengan risiko untuk melakukan kesilapan, maka jangan takut. Bersangka baiklah kepada Allah SWT, dan bergeraklah.

Kalau berjaya itu alhamdulillah. Kalau gagal itu, kita belajar lagi. Dan semestinya, bila kita gagal, kita akan nampak sesuatu yang selama ini rupanya kita tidak perasan, melainkan apabila kita gagal.

Melihat kembali hikmah dalam kegagalan. Belajar dari kesilapan.
Kita boleh mula belajar daripada kesilapan orang lain dahulu. Namun begitulah, kadangkala kita rasa kita dah belajar dah daripada kesilapan orang lain. Kita dah usaha dah untuk cermat. Kita rasa kita dah usaha sebolehnya untuk tidak melakukan kesilapan. Namun, apabila Allah izin kita kemalangan juga, akan terbukalah pintu-pintu ‘kecacatan’ yang selama ini rupanya kita tidak lihat.

Maka daripada kesilapan itu kita belajar lagi. Menjadi yang lebih baik lagi. Lebih baik dari apa yang kita rasa selama ini kita telah baik.

Dan begitulah dalam hal-hal yang lain. Kegagalan, kekurangan, kesalahan, semua itu hakikatnya adalah pengajaran halus daripada Allah SWT. Daripada semua itu, kita belajar,mengambil iktibar. Menjadi yang lebih baik lagi.

Belajarlah daripada kesilapan, belajarlah daripada kegagalan, itu semua banyak membantu untuk membina satu peribadi yang lebih mantap.

Perubahan itu sebenarnya bermula dari dalam diri kita sendiri. Orang lain hanya boleh menasihati, beri pandangan, kongsi ilmu, atau mungkin cuba memotivasikan kita. Namun, penerimaannya bergantung pada diri kita sendiri. Di sini, letaknya keunikan pintu hati. Pintu hati kita seperti  pintu hotel, tombolnya di dalam. Orang lain sekadar boleh mengetuknya sahaja, tetpi pintunya perlu dibuka dari dalam..





No comments:

Post a Comment