Monday, March 1, 2010

selingan aja..

Ini saja je, sekadar selingan..takda kena mengena dengan sesiapa pun ye..


Saat salam pertama dilafazkan, terdetik di birai hati untuk bersua lagi. Dengan ilmu agam yang diamati, hasratku itu ditangguhkan. Sememangnya mudah bagi manusia lain melayari alam percintaan dalam kegelumangan dosa. Tanpa ada dasar agama. Tetapi engkau tidak begitu..


Engkau begitu menekankan batasan perhubungan kita sekadar teman yang saling mengingati.. Pernah aku dibuai perasaan, tetapi engkau menepisnya dengan kalam yang menyentuh jiwaku..

"Hidup kita tidak sempurna. Apa juga jenis percintaan yang wujud, tidak ada suatu pun yang menjanjikan keasyikan berpanjangan. Justeru, janganlah terlalu memasang angan-angan untuk suatu mimpi yang belum pasti.. Hanya satu yang dapat ku katakan, jika benar ada JODOH antara kita, pasti kita akan bertemu jua.. Bila dan di mana? Itu aku tidak tahu. Malah, aku tidak mahu tahu itu. Hanya itu yang aku percaya. Jadi, usah kau bimbang soal hati dan perasaan. Jika hubungan ini terputus sekali pun, percayalah bahawa itu suratan takdir...."

Pedih. Perit. Sakit. Kalammu itu membawa seribu makna dan tanda tanya. Salahkah aku sekadar meluahkan isi hatiku?



Aku menangis setiap kali bersendirian di bilik. Air mata akan tumpah dan bunyi esakan menjadi lagu hati yang tidak mampu ku pujuk sejak dahulu.. Aku tidak minta semua ini berlaku, tetapi Tuhan beri juga. Tuhan Maha Mengetahui dan Maha Adil.. Sepanjang tiga tahun ini, aku cuba melupakanmu.. Kerapkali juga aku solat hajat minta pada Tuhan agar dilunturkan perasaan ini. Aku merayu, merintih dan memohon agar wajahmu keluar dari hatiku.

                Hingga ke akhirnya, aku masih tidak mampu.....



Walhal, engkau adalah antara lelaki EGO yang pernah aku temui. Bukan sekali engkau membuat hatiku terluka dan sakit. Malah, setiap kali berbicara denganmu, engkau bersikap dingin dan membela diri. Apakah salahku? Bila aku bercakap soal perasaan, engkau akan tukar bicara dan menasihatiku agar tidak pergi terlalu jauh.. Engkau sering membuat aku tertanya-tanya apa yang ada di dalam hatimu. Hinggakan aku rasakan diriku perempuan murahan, terhegeh-hegeh mendekatimu sedangkan engkau langsung tidak memandangku..


Aku sedar aku bukanlah calang-calang orang sepertimu.. Malah, aku mengkagumi dirimu kerana memiliki ilmu dan kesedaran terhadap ilmu agama yang tinggi. Engkau penuh dengan agenda islah diri. Engkau sangat menginginkan aku menjadi remaja yang solehah. Daripada saat itu, aku berubah. Aku bertudung labuh dan semakin menjauhi lelaki. Batas-batas pergaulan aku jaga dengan kemas. Seolah ada dinding lutsinar agar lelaki lain tidak mengganggu ku. Aku benar-benar mahu jadi wanita yang  engkau inginkan. Wanita solehah.


Tetapi, aku masih diuji. Ramai lelaki mendekatiku dan mahu menjadikan aku pasangan mereka. Aku tolak, aku katakan pada mereka dengan baik. Namun ada yang berkeras. Sehingga aku terpaksa berperang dengan situasi itu. Aku menghamburkan semua kesusahanku padamu. Lalu engkau dengan egonya berkata bahawa kita TIADA apa-apa yang istimewa. Sakit. Perit. Sungguh, engkau memang ego.

Engkau tidak pernah menjelaskan isi hatimu padaku. Malah, sebelum ini juga, engkau sering mengelak bila aku persoalkan soal 'kita'. Hingga aku jadi walah dengan perasaan sendiri. Begitu tinggi keegoanmu!


Aku mahu engkau tahu, aku telah berkorban demi untuk menjadi seperti apa yang engkau inginkan, menjadi wanita itu. Aku berjaya mendidik diriku agar menjadi wanita yang menjadikan islam sebagai pegangan. Cuma satu yang ku kesalkan ialah keegoanmu. Dengan keegoanmu yang meninggi itu membuatkan aku rasakan aku bertepuk sebelah tangan. Walaupun hatiku kuat menyatakan engkau juga menyintaiku tetapi keegoanmu lebih kuat menolaknya. Aku hormati pendirianmu itu.

Sejak dari BERITA itu, engkau menyepikan diri. Tatkala itu juga, hatiku runtuh. Hancur. Luluh. Mengapa langsung tidak ada khabar yang kau kirimkan? Memang benar tekaan ku, sifat egois masih menebal di sanubarimu. Apakan dayaku untuk memaksamu? Apa lagi yang bisa ku lakukan? Sungguhpun aku tahu dirimu sudah dimiliki, untuk melupakanmu adalah sesuatu yang mustahil bagiku. Sedangkan Allah masih tidak memadamkan ingatanku terhadapmu, apatah lagi diriku untuk menolak hakikat itu. Hanya kepada Allah aku berserah. Aku pasrah. Aku tahu, pasti ada hikmah terbesar di sebalik semua kejadian ini. Kadangkala hikmah itu tidak terjangkau dek pemikiran manusia yang cetek.



Mencintai dan mengenali tidak sama. Cinta tidak memerlukan sebab. Hanya kerana Suka, Kasih lalu terus Mencintai. Tetapi untuk mengenali, ianya memerlukan banyak sebab. Banyak persoalan dan andaian.. Dan dari sini aku belajar sesuatu.....

"mencintai tidak bermakna harus saling memiliki....."

>>>copied and edited from Warkah Cinta Berbau Syurga..<<<

No comments:

Post a Comment